KANTOI !!!!

SIAPA ' LINA 4 WD' DALAM SMS SUAMI ?
( Telefon bimbit menyimpan banyak rahsia peribadi )

Seorang pembaca, Nani (nama sebenar sengaja saya rahsiakan), menghantar e-mel, dan mengadu kepada saya; " Suami saya ada perempuan lain. Hasil intipan saya , tembelang suami saya pecah baru-baru ini"Ibu beranak dua itu menjadi spy. menyiasat kegiatan suami. Katanya, selama ini dia tidak pernah ambil tahu hal-hal suami peribadi suami. "Kalau saya tak mengikut petua yang diberikan, mungkin kegiatan suami saya tidak diketahui. Boleh jadi hubungannya dengan perempuan itu akan pergi lebih jauh...

Puan nani menyiasat suaminya menggunakan telefon bimbit atau HP, Bukan HP miliknya, tetapi HP milik suaminya. Lima tahun berkahwin, dia tidak pernah peduli tentang telefon bimbit suaminya. Suaminya tidak kisah sangat dengan HP. Pulang dari pejabat HP itu diletakkan di mana-mana yang dia suka, ada ketika ditinggalkan saja, macam tidak ada apa-apa. Rupannya ada apa-apa! Puan Nani gatal-gatal tangan, dan satu petang ketika suaminya sedang mandi, dia mengambil HP suami yang terletak di rak buku. Dia terkejut beruk, salah satu SMS dalam inbox suaminya, datang daripada seorang yang menamakan dirinya ' Lina 4 WD', siapa Lina?

Deria kewanitaan Nani segera timbul syak. Adakah yang bernama Lina ini rakan kerja, teman biasa atau luar biasa suaminya. 4 WD? Apa yang dia tahu angka dan huruf-huruf itu adalah singkatan four wheel drive atau dalam bahasa Melayunya 'pacuan empat roda'. Adakah yang bernama Lina ini jurujual kenderaan pacuan empat roda, atau dia memang jenis wanita berkuasa tinggi? Bertambah lagi syak di jiwanya. Dan Puan Nani lebih syak bercampur panik apabila membaca isi SMS tersebut; ' Abang, terima kasih sebab ajak Ina menonton teater dan makan malam semalam....sesuatu yang amat bererti buat diri ini!"Fuhhh, lentuknya bahasa!

Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia menyergah suaminya yang baru keluar dari bilik mandi. Tetapi, dia tidak perlu gelabah. Dia meletakkan HP itu di tempat asalnya, macam tidak ada apa-apa. Andaian negatif terhadap penghantar SMS yang lentuk itu bukan bukti kukuh untuk dia menggigit telinga suaminya hingga putus. Dia berazam akan mencari bukti lain dari HP itu. Malam itu ketika suaminya sedang lenyak dibuai mimpi (selisih malaikat 44 janganlah suaminya bermimpi si pacuan empat roda tu!) dia mengambil HP suami.

Dia menyemak apa yang ada di dalam HP model terkini yang serba canggih itu. Kesimpulannya daripada siasatan ke atas HP malam itu dia mendapati ada satu SMS daripada 4 WD, dua missed call daripada 4 WD. Salah satu daripadanya panggilan itu tempohnya 15 minit. Apa yang dicakapkan selama suku jam itu?

Dia merenung suaminya yang berdengkur seperti bunyi enjin helikopter, tetapi masih belum cukup bukti untuk mengetuk kepala suaminya dengan penukul, juga belum boleh menggigit telinga suaminya hingga putus, sabar. Ketika sarapan pagi esoknya, dia selamba bertanyakan suaminya;" Siapa pacuan empat roda tu? " Suaminya berhenti meneguk kopi panas, dan berkata; " Pacuan empat roda?" "Alahhh, Lina 4 WD tu." Katanya sambil menjeling suaminya. "Saya terbaca SMS dia dalam HP abang semalam." Dia berharap suaminya akan terkejut dan tersedak hingga kopi tersembur dari mulutnya. Itu tanda awal suaminya memang bersalah.

Tetapi, suaminya hanya tersenyum sambil mengunyah roti bakar dengan tenang. "Apa pula mimpi awak membelek-belek telefon saya? Sebelum ini, tidak pernah pun awak tengok telefon saya. Tetapi elok juga awak buat kejutan macam itu, sekurang-kurangnya awak ada rasa cemburu pada saya"." Bukan apa saya takut Lina itu kekasih abang,"kata Nani, masih dalam nada paling selamba, tetapi kali ini ada semcam amaran; " Abang jangan buat hal. Saya ni nampak saja bodoh, tetapi tidak takut untuk mematahkan tengkuk abang".

Suaminya ketawa mengekeh kemudian menjelaskan; Si Lina tu jual kereta pacuan empat roda.Abang berhasrat untuk tukar kereta. Kalau boleh hendak beli 4 WD, anak kita dah besar-besar, elok juga ada kereta yang lebih luas....". Kalau tengok cara dia bercakap tanpa gelabah sikit pun. Nani yakin suaminya tidak berbohong. Tetapi fikir punya fikir, lelaki pandai berlakon. Untuk menambahkan suspen, Nani bertanya pada suaminya ; "Baguslah abang hendak beli kereta pacuan empat roda, saya pun suka. Tetapi kenapa tidak beritahu saya?" Nani tersenyum apabila mendengar suaminya berkata:"Saja hendak buat kejutan!"

Sebelum kejutan mengenai kenderaan pacuan empat roda itu menjadi kenyataan, Nani dulu yang membuat kejutan kepada Lina. Beberapa minit setelah suaminya keluar rumah untuk ke pejabat dia mendail nombor jurujual 4 WD itu."Helo, siapa ni?" suara lembut menjawab di hujung talian."Minta maaf ganggu saudari pagi-pagi macam ni," kata Nani dengan nada paling lembut dan sopan."Saya cuma hendak pastikan, bahawa kenderaan pacuan empat roda yang saya tempah dua hari lalu warna biru muda, jangan tukar warna lain pula..."."Pacuan empat roda? biru muda? Lhaaa, kot-kot awak ni salah nombor.""Eh, awak tukang jual kenderaan pacuan empat roda kan?" "Sahlah awak salah nombor, saya bukan tukang jual kereta"." Tapi awak Ros kan?"Saya bukan Ros, saya Lina." "Maafkan saya saudari, memang saya salah nombor!"Nani meletakkan telefon.

Darahnya menyirap. Sahlah si Lina bukan penjual kereta.. Kalau ada suami di depannya pasti ada telinga yang terpisah dari kepala!. Petang itu, tidak kerana ada anak-anak di meja makan, pasti terjadi perang dingin. Suami pun makan macam tak lalu, pasti dia sudah tahu apa yang terjadi di antara isterinya dengan perempuan yang dipanggil 'Ros'. Pandai betul Nani mengintip rahsia, boleh jadi rakan kongsi James Bond, ejen 007 yang tersohor seluruh dunia itu.

Di atas katil malam itu suaminya mengaku bahawa Lina bukan penjual kereta. Secara selamba juga dia memberitahu dia baru dua bulan kenal dengan Lina, dua tiga kali cakap dalam telefon, baru sekali keluar malam dan belanja makan."Maafkan abang, dah tiga empat tahun kita kahwin, inilah pertama kali abang buat silap. Abang da putuskan hubungan dengan dia..."

Kesimpulannya; tidak salah untuk sekali-sekala mengambil telefon bimbit suami untuk mengetahui apa-apa yang terkandung di dalamnya. HP bukan saja untuk menyimpan data tetapi, tetapi banyak juga menyimpan rahsia.Saya sendiri pun selalu meminta Hp isteri saya untuk buat siasatan..

PENULIS ABDUL JALIL ALI
MAJALAH MIDI

Comments